NOTA


**************************************************************************************
BENTUK KATA


Perkataan dalam bahasa Melayu dapat dijeniskan kepada empat bentuk, iaitu (a) kata tunggal, (b) kata terbitan, (c) kata majmuk dan (d) kata ganda seperti berikut:
Rajah 1: Peta Konsep Bentuk Kata

1) Kata tunggal
Kata tunggal merupakan kata yang tidak menerima apa-apa imbuhan. Kata tunggal terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
  • Kata tunggal yang merupakan unit bebas dan dapat berdiri sendiri sebagai satu ayat contohnya "saya" dan "duduk".
  • Kata tugas (tidak dapat berdiri sendiri tetapi memerlukan sekurang-kurangnya satu unit bebas untuk melaksanakan tugas nahunya) misalnya "ke Johor". 
  • Akronim (perkataan yang diterbitkan melalui proses penggabungan singkatan beberapa perkataan dan membentuk satu perkataan yang utuh) seperti "pawagam" dan "Mara". 
2) Kata terbitan
Kata terbitan merupakan kata dasar yang menerima imbuhan. Imbuhan dalam bahasa Melayu dibahagikan kepada empat iaitu:
  • imbuhan awalan, contohnya awalan men- : mendukung (men- + dukung).
  • imbuhan akhiran, contohnya akhiran -an : makanan (makan + -an). 
  • imbuhan apitan, contohnya per-...-an : pertunjukan (per- + tunjuk + -an).
  • imbuhan sisipan, contohnya -em- : gemuruh (g + em + uruh). 
3) Kata majmuk
Kata majmuk ialah bentuk kata yang wujud apabila dua atau lebih kata dasar dirangkaikan menjadi satu kesatuan yang membawa makna tertentu. Kata majmuk ditulis dalam dua bentuk iaitu:
  • ditulis secara bercantum : tanggungjawab, apabila dan dukacita.  
  • ditulis secara terpisah : guru besar, mata pelajaran, dan kaki bangku (simpulan bahasa). 
4) Kata ganda
Kata ganda ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangi kata dasar sama ada secara keseluruhan atau bahagian-bahagian tertentu, dan dengan atau tanpa imbuhan misalnya:
  • kata ganda penuh : labah-labah, kumpulan-kumpulan.
  • kata ganda separa : lelaki, jejentik, pepohon. 
  • kata ganda terbitan : berkali-kali, setinggi-tinggi.
  • kata ganda berirama : gotong-royong, kuih muih, gilang-gemilang.
**************************************************************************************  
 PENGGOLONGAN KATA



KATA NAMA

Kata nama terbahagi kepada 3 golongan, iaitu: 
i)   Kata Nama Khas
ii)  Kata Nama Am
iii) Kata Ganti Nama
  
Kata Nama Khas
  • Kata Nama Khas merujuk kepada nama ruang, binatang, tempat dan benda secara khusus.
  • Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (Nik Safiah Karim et. al : 2004 : 86), kata nama khas ialah kata nama yang merujuk nama sesuatu benda yang khusus dan ejaannya berpangkalkan huruf besar.
  • Kata nama khas terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu nama khas hidup dan kata nama khas tak hidup. (Nik Safiah Karim et al : 2004 : 86). 

Rajah 2: Peta Konsep Penggolongan Kata Nama Khas

Kata Nama Am
  • Kata Nama Am ialah perkataan yang merujuk kepada benda-benda atau perkara-perkara yang umum sifatnya (Nik Safiah Karim et al: 2004 : 87).
  • Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata nama am dapat dibahagikan kepada dua jenis dan kemudian dibahagikan pula kepada beberapa pecahan kecil. 



Rajah 3: Peta Konsep Penggolongan Kata Nama Am

Kata Ganti Nama  
  • Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, Kata ganti nama dibahagikan kepada dua sub-golongan kecil, iaitu kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri (Nik Safiah Karim et. al : 2004 : 88).
  • i) Kata Ganti Nama Tunjuk: Kata ganti nama tunjuk ialah perkataan yang menjadi pengganti pada kata nama dan mendukung maksud menunjukkan benda atau perkara yang dirujukkan itu (Nik Safiah Karim, 1989 : 64). Ada dua kata ganti nama tunjuk iaitu ini untuk menunjukkan pada yang dekat dan itu untuk menunjukkan ada yang jauh.
  • ii) Kata Ganti Nama: Ganti nama diri pula dibahagikan kepada ganti nama diri orang dan ganti nama diri tanya. Ganti nama diri orang terdiri daripada ganti nama diri orang pertama, ganti nama diri orang kedua dan ganti nama diri orang ketiga. (Nik Safiah Karim, et al : 1989 : 63).

Rajah 4: Peta Konsep Penggolongan Kata Ganti Nama

**************************************************************************************
KATA KERJA

Kata kerja menyatakan perbuatan. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (Nik Safiah Karim et. al : 2004 : 139), kata kerja sebagai satu golongan kata boleh dibahagikan kepada dua kumpulan utama, iaitu:
i)          Kata kerja transitif
ii)         Kata kerja tak transitif



Rajah 5: Peta Konsep Penggolongan Kata Kerja


Kata Kerja Transitif
Menurut Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata kerja transitif ialah kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya (Nik Safiah Karim et. al: 2004 : 143)

Subjek
Kata Kerja Transitif
Objek
1. Ibu
memasak
kari ayam
2. Ahmad
menendang
bola


Contoh:
1.  Emak memasak (kata kerja transitif) kari ayam (objek)
2.  Kakak membelikan (kata kerja transitif) Kartini kamus.

Kata Kerja Tak Transitif
Kata kerja yang tidak mengambil apa-apa objek. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. (Nik Safiah Karim et. al: 2004 : 90). Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (Nik Safiah Karim et. al: 2004 : 140), kata kerja tak transitif dapat dibahagikan kepada dua subgolongan, iaitu:

i)      Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap
ii)     Kata kerja tak transitif berpelengkap

Contoh:
1.  Murid-murid berbaris (kata kerja tak transitif) di padang sekolah
2.  Pasukan hoki berlatih (kata kerja tak transitif) setiap petang.

Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap
Kata kerja tak transitif berpelengkap ialah kata kerja yang mesti diikuti oleh pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat (Nik Safiah Karim et. al: 2004 : 141)

Subjek
Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap
Pelengkap
1. Mereka
bermain bola
di padang
2. Azli
tinggal
di Pahang



Kata Kerja Tak Transitif Tanpa Pelengkap
Kata Kerja tak transitif tanpa pelengkap ialah kata kerja yang boleh berdiri sendiri tanpa
objek atau penyambut. (Nik Safiah Karim et. al: 2004 : 140)

Subjek
Kata Kerja Tak Transitif Tanpa Pelengkap
Keterangan
1. Mereka
makan
di Restoran Sahur
2. Dia
membeli-belah
di Singapura


**************************************************************************************
KATA ADJEKTIF
  • Kata adjektif menerangkan sifat atau keadaan bagi suatu kata nama atau frasa nama.
  • Kata adjektif disertai dengan kata keterangan amat, paling dan sangat.
  • Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata adjektif dapat dibahagikan kepada sekurang-kurangnya sembilan kumpulan berdasarkan makna perkataannya, iaitu:


Rajah 6: Peta Konsep Jenis-jenis Kata Adjektif

Kata AdjektifMaksudContoh
1. Kata Adjektif Sifat /
    Keadaan
Menerangkan sifat atau keadaanCerdik, bijak, cantik, rajin.
2. Kata Adjektif
    Warna
Menerangkan warnaBiru, merah, kuning, hijau, putih
3. Kata Adjektif
    Ukuran
Menerangkan ukuranTebal, nipis, tinggi, rendah, panjang, pendek.
4. Kata Adjektif
    Bentuk.
Menerangkan bentuk atau rupa.Bulat, bujur
5. Kata Adjektif
    Waktu.
Menerangkan konsep masaBaru, lambat, lama, lewat, silam.
6. Kata Adjektif
    Jarak
Menerangkan konsep ruang antara dua benda atau keadaan.Jauh, dekat.
7. Kata Adjektif
    Cara
Menerangkan keadaan kelakuan atau ragam.Pantas, perlahan, jarang.
8. Kata Adjektif
    Perasaan
Menerangkan konsep perasaan.Pemalu, ragu-ragu, rindu, sayang.
9. Kata Adjektif
    Pancaindera.
Menerangkan konsep rasa, pandang, dengar, bau dan sentuh.Bising, wangi, kasar, masam, pahit, manis, licin.


Perbandingan Dalam Frasa Adjektif
Perkataan yang digunakan dalam perbandingan frasa adjektif adalah seperti, se, lebih, paling, ibarat dan laksana.


Contoh ayat: 

1. Amira pandai.
2. Amira pandai seperti Kancil.
    (pandai seperti membawa maksud hampir sama, kesamaan)
3. Amira sepandai Nora.
    (sepandai membawa maksud sama)
4. Amira lebih pandai daripada Nora.
    (lebih pandai menunjukkan darjat / tingkat yang lebih)
5. Amira paling pandai dalam kalangan murid di dalam kelas 1Biru.
    (kata penguat paling menunjukkan sangat pandai). 

Mengikut Tatabahasa Dewan, terdapat tiga darjah perbandingan kata adjektif iaitu darjah biasa, darjah bandingan dan darjah penghabisan. 

Perbandingan dengan darjah biasa
Perbandingan dengan darjah biasa tidak melibatkan kata penguat / kata perbandingan. Kata adjektif cantik, besar dan rajin tidak dibandingkan dengan sesuatu.

1. Rumah ini cantik.
2. Dewan itu besar.
3. Dia rajin

Perbandingan dengan darjah bandingan
Dalam Tatabahasa Dewan, penggunaan awalan se- untuk menyatukan darjah bandingan. Kata adjektif awalan se- menunjukkan bandingan sama.

1. Wajah  Sujinah secantik ibunya.
2. Buku ini tidak semahal buku itu.
3. Kereta Amin sebesar kereta Azman.

Awalan se- membawa maksud ‘sama atau hampir sama’. Kata Adjektif dibandingkan dengan benda lain yang membawa maksud mirip / sama. 

1. Dia garang seperti harimau.
2. Amira cantik seperti bidadari.

****************************************************************************************
KATA TUGAS




Rajah 7: Peta Konsep Penggolongan Kata Tugas

Kata Hubung
Perkataan yang bertugas untuk menghubungkan atau menyambungkan dua ayat tunggal atau lebih daripada dua ayat tunggal. Ayat yang terhasil daripada penyambungan dua ayat atau lebih daripada dua ayat dinamakan ayat majmuk.
Kata hubung terbahagi kepada 2 iaitu:

Kata Hubung Gabungan
Kata hubung gabungan menyambungkan dua ayat yang sama penting kedudukan. Menurut
Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (Nik Safiah Karim et. al: 2004 : 239), kata hubung
gabungan ialah jenis kata yang menghubungkan dua klausa atau lebih yang sama
taraf sifatnya. Ayat yang terbentuk yang menggunakan kata hubung gabungan ini disebut
ayat majmuk gabungan.
Contoh:
1.	Dia membuka almari lalu mengambil bajunya.
2.	Roziah mendengar radio sambil menggosok baju.

Kata Hubung Pancangan
Kata hubung pancangan ialah jenis kata hubung yang menyampaikan klausa-klausa tidak setara atau klausa pancangan pada klausa utama atau klausa induk.
Kata hubung pancangan menyambungkan satu ayat induk dengan satu atau lebih ayat
kecil.
         
    Ayat utama	                    Ayat Kecil
1. [ Asmah senyum ] kerana [ dia sangat gembira ]
2. Kami akan berhenti menjalani latihan bola sepak jika hujan bertambah lebat.
3. Dia tidak putus asa walaupun dia tidak berjaya dalam temuduga tersebut.
Menurut Tatabahasa Edisi Baharu (Nik Safiah Karim et. al : 2004 :240), kata hubung pancangan ialah jenis kata hubung yang menyambung klausa-klausa tak setara atau klausa pancangan pada klausa utama atau klausa induk. Kata hubung pancangan terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:
1.	Kata hubung pancangan relatif
2.	Kata hubung pancangan komplemen
3.	Kata hubung pancangan keterangan

Kata hubung pancangan relatif
Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (Nik Safiah Karim et. al : 2004 : 240), kata hubung pancangan relatif atau ringkasnya kata relatif ialah kata yang berfungsi menghubungkan klausa utama dengan satu klausa kecil yang lain. Bentuk kata hubung pancangan relatif ialah "yang".

Kata hubung pancangan komplemen
Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (Nik Safiah Karim et. al : 2004 : 241), kata hubung, pancangan komplemen berfungsi menghubungkan satu klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap pada satu klausa utama. Dua contoh kata komplemen yang sering digunakan ialah "bahawa" dan "untuk".

Kata hubung pancangan keterangan
Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (Nik Safiah Karim et. al : 2004 : 241), kata hubung pancangan keterangan berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada satu klausa utama. 
Contoh kata keterangan adalah seperti;
"kerana, hingga, kalau, agar, jika, sungguhpun, supaya, apabila".